Karnival Kampung Angkat MADANI Batu Maung meriah, perkukuh hubungan komuniti
BAYAN LEPAS – Karnival Kampung Angkat MADANI (KAM) anjuran Jabatan Standard Malaysia (JSM) berlangsung meriah dengan penyertaan penduduk setempat serta pelbagai agensi kerajaan di Perkarangan Masjid Umar Abdul Aziz, Batu Maung, hari ini.
JSM berkata, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kampung Angkat MADANI yang bertujuan memperkasakan komuniti setempat, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat.
“Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang karnival termasuk mini ekspo kerjaya, pameran dan perkhidmatan agensi kerajaan, senamrobik, pertandingan mewarna serta kuiz kenegaraan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain mengeratkan hubungan komuniti, program berkenaan turut menjadi platform untuk memberi penerangan mengenai perancangan pembangunan dan projek penambahbaikan infrastruktur yang bakal dilaksanakan di Kampung Batu Maung.
JSM turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan serta mengadakan sesi kesedaran mengenai kepentingan amalan kualiti dan standard dalam kehidupan seharian.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, See Chee Kong.
Menurut JSM, Kampung Batu Maung akan menerima tumpuan pembangunan secara berfasa menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dirangka untuk meningkatkan taraf hidup penduduk dan memperkukuh pembangunan modal insan.
Penganjuran karnival itu diharap dapat mewujudkan saluran komunikasi yang lebih berkesan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat, sekali gus memudahkan pelaksanaan program pembangunan yang memberi manfaat kepada penduduk pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














