BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kakitangan UPSI maut dipercayai terperangkap dalam stor sukan

TANJUNG MALIM – Seorang kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditemukan maut selepas dipercayai terperangkap dalam sebuah stor berkunci di fasiliti sukan universiti itu awal pagi tadi.

Difahamkan, mangsa lelaki berusia 53 tahun itu ditemui dalam stor peralatan pembersihan di UPSI Sport Bowl.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.57 pagi daripada polis bagi mendapatkan bantuan membuka pintu stor yang berkunci.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira sembilan kilometer dan tiba pada pukul 2.07 pagi.

“Setibanya di lokasi, pintu stor telah pun dibuka oleh polis bantuan UPSI. Anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemantauan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sabarodzi lagi, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis. Operasi dikawal pada pukul 2.17 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.36 pagi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button