Kerajaan Johor minta pihak berkuasa siasat operasi Network School di Forest City
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School di Forest City bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang, susulan kebimbangan orang ramai termasuk dakwaan kehadiran warga Israel yang menyertai program itu menggunakan pasport negara kedua.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara berkenaan dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan diminta melaksanakan semakan dan siasatan menyeluruh terhadap perkara itu.
“Siasatan itu merangkumi identiti dan kewarganegaraan individu yang terbabit, dokumen perjalanan serta penggunaan pasport kedua, jenis pas dan tujuan kemasukan ke Malaysia, selain memastikan keselarasan antara tujuan kemasukan dengan aktiviti sebenar yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Onn Hafiz berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital serta agensi kawal selia berkaitan turut diminta menentukan status sebenar operasi Network School, termasuk sama ada program berkenaan memerlukan pendaftaran atau kelulusan mengikut undang-undang negara.
Beliau berkata, di peringkat negeri, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan akan menyemak semula aspek pematuhan yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing.
Katanya, semakan itu meliputi pematuhan terhadap syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta keperluan perundangan dan peraturan lain yang berkuat kuasa.
“Jika siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, Kerajaan Negeri menggesa supaya tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri akan terus bertindak secara bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang bagi melindungi kepentingan Johor serta mempertahankan kedaulatan negara.
Kontroversi berkenaan tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran Network School di Forest City, dengan terdapat hantaran mendakwa projek itu menarik penyertaan usahawan asing termasuk warga Israel yang memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


