JENDELA fasa 1 hampir lengkap, liputan internet capai 99.71 peratus
CYBERJAYA – Infrastruktur digital di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu hampir lengkap apabila 99.1 peratus menara komunikasi baharu telah siap dibina.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, daripada 1,661 menara sasaran, sebanyak 1,646 menara telah siap dibina, manakala 1,618 menara kini beroperasi sepenuhnya bagi rangkaian 2G dan 4G.
“Keseluruhan pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, bilangan premis yang diliputi rangkaian turut meningkat daripada 4.96 juta sebelum pelaksanaan JENDELA kepada 9.81 juta premis setakat Disember 2025, melepasi sasaran sembilan juta premis.
Kelajuan median muat turun jalur lebar mudah alih juga meningkat kepada 143.70 Mbps, sekali gus menunjukkan peningkatan kualiti perkhidmatan Internet kepada rakyat.
MCMC berkata, pencapaian ini adalah hasil daripada usaha bersepadu pengendali rangkaian mudah alih melalui pembangunan infrastruktur 4G baharu, penaiktarafan tapak sedia ada serta perkongsian Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN).
“Pelaksanaan JENDELA menumpukan kepada tujuh kawasan tumpuan termasuk institusi pengajian tinggi awam, kawasan pelancongan, stadium, kawasan acara, kem tentera, hospital dan lebuh raya,” katanya lagi.
Di institusi pengajian tinggi awam, lebih 34,000 titik akses Wi-Fi telah dipasang di 126 kampus universiti, politeknik dan kolej komuniti, manakala penambahan 73,768 titik akses dirancang bagi memastikan liputan menyeluruh.
Sementara itu, kemudahan gentian optik telah disediakan di 73 kem tentera, membolehkan capaian Fibre to the Home (FTTH) kepada 59,240 Rumah Keluarga Angkatan Tentera.
MCMC turut berkata, liputan dan kapasiti rangkaian mudah alih juga diperluas di 18 IPTA dan 17 kawasan acara termasuk Sepang Circuit, SPICE Arena Penang, Sabah International Convention Centre dan Borneo Convention Centre Kuching.
“Pelaksanaan bersasar dan berfasa ini membolehkan liputan Internet diperluas secara lebih cekap, termasuk ke kawasan kurang berpenduduk serta sepanjang jajaran lebuh raya, menggunakan teknologi yang bersesuaian dengan keperluan setempat,” katanya lagi.
MCMC berkata, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan peningkatan liputan dan kualiti perkhidmatan Internet dilaksanakan secara mampan, selaras dengan objektif JENDELA Fasa 2 untuk memperluas akses Internet ke kawasan berpenduduk jarang serta koridor pengangkutan utama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








