BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Pegawai imigresen suami, isteri disyaki buka kedai emas hasil wang rasuah ditahan SPRM

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) disyaki menggunakan wang rasuah diterima dalam tempoh empat tahun untuk membuka sebuah kedai emas dengan modal kira-kira RM600,000.

Menurut video yang dimuat naik di akaun TikTok rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pasangan berusia lingkungan 40-an itu dipercayai menubuhkan kedai emas dengan menggunakan wang rasuah diterima sejak 2020, dengan menjadikan adik si isteri serta anak mereka sebagai proksi.

Siaran TikTok itu turut memaparkan petikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya yang berkata, pasangan berkenaan terbabit dalam program pemutihan bagi membolehkan majikan mendapatkan permit kerja sah untuk pekerja asing tanpa permit.

Beliau berkata, hasil siasatan SPRM juga mendapati kedua-dua suspek dipercayai berperanan mengatur kemasukan warga asing tanpa dokumen lengkap ke negara ini.

Jelasnya, proses itu memerlukan majikan menghantar fail pekerja warga asing berkenaan untuk semakan awal oleh Bahagian Penguat Kuasa.

“Setelah melepasi peringkat pertama tapisan, majikan yang mempunyai fail-fail warga asing perlu membawa fail berkenaan kepada suspek untuk menentukan kelengkapan dokumen sebelum memperoleh Akaun Penerimaan (AP).

“Bagaimanapun, bagi mempercepatkan proses berkenaan daripada tujuh hari kepada tiga hari saja, majikan dipercayai perlu membayar RM700 bagi setiap warga asing berkenaan,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata, wang rasuah itu dipercayai diterima secara tunai dan diagihkan kepada pegawai lain yang menguruskan fail, manakala suspek menerima RM150 bagi setiap pekerja asing.

“Dalam tempoh empat tahun bermula 2020, suspek dipercayai telah mengumpul kira-kira RM900,000 yang digunakan untuk membuka kedai emas dan selebihnya membeli sebuah kereta mewah,” katanya.

Beliau turut mengesahkan ketika serbuan di kedai emas di Pahang, SPRM menemui simpanan emas seberat tiga kilogram dengan nilai semasa kira-kira RM1.4 juta.

“Melalui Ops Dygo, SPRM menahan reman pasangan suami isteri dalam lingkungan usia 40-an itu selama lima hari bermula 10 hingga 14 September selepas Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, membenarkan permohonan SPRM.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button