‘CEO Batu’ mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual bukan fizikal terhadap remaja
AMPANG – Seorang pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai ‘CEO Batu’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.
Tertuduh, Muhamad Iqbal Muhamad, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Iqbal didakwa melakukan perbuatan amang seksual bukan fizikal dengan niat untuk dilihat oleh mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun 10 bulan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Batu Caves, dekat sini pada pukul 1.16 pagi, 16 Mei lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Terhadap Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh, namun peguam tertuduh, Mohd. Anif Rafih memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM6,000.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan tersebut dengan menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 berserta syarat tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa.
Difahamkan, tertuduh juga akan didakwa di Mahkamah Selayang pada Jumaat ini atas pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki gambar lucah dalam telefon bimbit.
Baca juga : “Niat saya hanya perjuangkan keadilan anak” – Ibu mangsa gangguan seksual CEO Batu
Baca juga : Kes hantar mesej tidak senonoh: Polis tahan CEO Batu
Tertuduh sebelum ini ditahan pada 22 Mei lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sebelum direman selama empat hari.
Terdahulu, beberapa tangkap layar tular di media sosial memaparkan mesej berunsur tidak senonoh bersama gambar yang dihantar tertuduh kepada remaja tersebut.
Gambar itu dikatakan telah dihantar kononnya bagi menunjukkan parut pembedahan, namun memaparkan bahagian tubuh yang tidak sepatutnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











