BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Bayi 11 bulan maut di pangkuan ibu, kereta dipandu ayah langgar kawanan lembu

BERA – Perjalanan sepasang suami isteri untuk membeli susu anak berakhir tragedi apabila bayi perempuan mereka berusia 11 bulan maut selepas kereta dinaiki sekeluarga terbabas akibat melanggar sekumpulan lembu di Kilometer 49, Jalan Kerayong–Simpang Kepayang, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, mangsa, Nur Adriana Amira Mohamad Norismail disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Bandar 32 akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu bapa mangsa, Mohamad Norismail Sani, 22, bersama isterinya, Nik Nur Aini Azierah Che Azeman, 21, dalam perjalanan dari arah Kepayang menuju ke Kerayong sebelum kemalangan berlaku.

“Siasatan awal mendapati sekumpulan lembu tiba-tiba melintas dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu hilang kawalan dan melanggar haiwan berkenaan sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, bayi berkenaan berada dalam pangkuan ibunya ketika kejadian dan tidak tercampak keluar dari kenderaan.

“Dua daripada tiga ekor lembu yang dilanggar mati di tempat kejadian, manakala seekor lagi cedera,” katanya lagi.

Zulkiflee berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu mengawal kenderaan ketika melalui kawasan berisiko terdapat haiwan berkeliaran di jalan raya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button