Nahas di Plaza Tol Bukit Kajang, pemandu lori ditahan
KAJANG – Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan maut melibatkan seorang bayi di Plaza Tol Bukit Kajang, di sini telah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Naazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan maut manakala tujuh lagi cedera.
“Kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu sebuah lori, sebuah kereta dan dua jip. Siasatan mendapati lori dari arah Semenyih menuju ke Putrajaya mengalami masalah brek ketika tiba di kawasan plaza tol.
“Pemandu lori gagal mengawal kenderaan lalu merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menuju ke lorong tol lapan dan sembilan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, akibat rempuhan itu, bayi berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tujuh mangsa lain dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang dan KPJ Kajang.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








