BERITA SEMASADALAM NEGERI

Jemaah Menteri setuju cadangan had tempoh PM selama 10 tahun – Azalina

KUALA LUMPUR – Kabinet Kerajaan MADANI semalam bersetuju dengan cadangan dasar had tempoh jawatan Perdana Menteri ditetapkan selama 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan itu dicapai semasa mesyuarat Jemaah Menteri selepas meneliti secara terperinci input dasar, pandangan awam, serta syor yang diterima melalui sesi libat urus holistik melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

“Keputusan ini dibuat selepas meneliti pandangan pelbagai pihak. Ia bertujuan mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan memperkukuh sistem demokrasi serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara, selaras dengan amalan demokrasi matang di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Azalina turut memaklumkan bahawa kerajaan bercadang melaksanakan beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan dasar itu yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada sidang kali ini.

Terdahulu, pada 5 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Rang Undang-Undang (RUU) had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun atau dua penggal, sebagai langkah reformasi pentadbiran.

Selain itu, tiga RUU lain dijangka dibentangkan tahun ini, termasuk pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penubuhan Ombudsman, serta pelaksanaan Kebebasan Maklumat (FOI).

Azalina berkata beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti politik bagi mendapatkan sokongan lebih dua pertiga untuk memastikan pindaan itu diluluskan di Dewan Rakyat.

Beliau menegaskan, RUU had tempoh jawatan Perdana Menteri ini tidak melibatkan jawatan Ketua Menteri atau Menteri Besar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button