Jejambat Bukit Song dijangka siap awal, lengkapkan Pan Borneo Sarawak
MIRI – Pembinaan jejambat Bukit Song sepanjang 300 meter di bawah Pakej WPC 11 Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dijangka siap lebih awal daripada jadual asal, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, jejambat itu pada mulanya dijadual siap Oktober ini namun dijangka dapat disempurnakan bulan depan sekali gus melengkapkan keseluruhan projek LPB Sarawak untuk kegunaan rakyat.
“Pembinaan viaduct itu terpaksa dilaksanakan kerana keadaan tanah di kawasan berkenaan tidak sesuai untuk tambakan. Faktor itu menyebabkan sedikit kelewatan keseluruhan projek, tetapi kini ia hampir disiapkan lebih awal,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas melakukan tinjauan, semalam.
Pakej WPC 11 merupakan pakej terakhir daripada 11 pakej pembinaan LPB Sarawak.
Selain itu, Alexander turut meninjau kerja naik taraf jalan sepanjang 4.2 kilometer serta penukaran paip baharu oleh Sarawak Water Sdn. Bhd. (sebelum ini LAKU) selepas berlaku insiden paip pecah sebelum kerja pembinaan dimulakan.
“Walaupun ada kelewatan, kerja tambahan itu perlu dilakukan bagi menjamin bekalan air di Miri tidak terjejas dan jalan baharu tidak berisiko rosak pada masa depan,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Kerja Raya menerusi JKR Sarawak akan memastikan libat urus berterusan antara pasukan projek dan kontraktor selain pemantauan rapi secara berkala agar projek siap mengikut jadual.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






