
JDT tingkatkan kawalan keselamatan pemainnya
JOHOR Bahru – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) meningkatkan keselamatan terhadap pemain pasukannya susulan serangan ke atas pemainnya, Safiq Rahim, malam tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards turut menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya segera menyiasat insiden yang berlaku di Pusat Latihan JDT, di sini.
“Insiden ini bersama kejadian menimpa Akhyar Rashid dan Faisal Halim tidak mempunyai tempat dalam dunia arena bola sepak.
“Dengan perkembangan terbaharu ini, JDT juga meningkatkan tahap keselamatan terhadap pemain-pemain kami sebagai langkah berwaspada.
“Kami juga menasihati pemain-pemain JDT agar lebih berwaspada dengan persekitaran dan hantaran di media sosial masing-masing setiap masa,” kata Alistair dalam satu hantaran di akaun Facebook milik JDT, malam tadi.
Dalam kejadian malam tadi, kenderaan bekas pemain Harimau Malaya itu diserang dua lelaki bermotosikal di Jalan Seri Gelam, Johor Bahru setelah beliau selesai mengambil barang di pusat berkenaan.
Sebelum ini, pemain sayap Terengganu FC, Akhyar turut diserang dipercayai dalam kejadian samun di Terengganu, manakala Faisal yang kini bermain untuk Selangor FC pula disimbah dengan asid di Kota Damansara, Ahad lepas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek yang menyerang Safiq sedang dilakukan.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Polis sedang mengesan dan menangkap suspek yang terbabit. Kenyataan akan dikeluarkan selepas siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, malam tadi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








