SUKAN

JDT buru sejarah baharu, Arif Aiman kembali dalam radar final Piala Malaysia

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang mencipta sejarah baharu bola sepak negara apabila memburu kejuaraan Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut menjelang aksi final menentang Kuching City di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Pengendali JDT, Xisco Munoz berkata, skuad Harimau Selatan kini berada dalam persiapan terbaik untuk menghadapi perlawanan akhir itu termasuk kemungkinan menurunkan semula tonggak sensasi, Arif Aiman Hanapi.

Menurut beliau, pemain berusia 24 tahun itu berpotensi membuat penampilan kompetitif pertama selepas lebih enam bulan berehat akibat kecederaan lutut serius yang dialami sejak November lalu.

“Kami gembira melihat Arif Aiman sudah kembali bersama pasukan. Namun, kita akan nilai sama ada dia bersedia untuk mendapat beberapa minit permainan kerana dia sudah lama tidak beraksi.

“Dia perlukan masa untuk kembali ke tahap sebenar, tetapi Arif Aiman akan berada dalam senarai pemain untuk final,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Mengulas mengenai cabaran menentang Kuching City, Munoz mengakui skuad The Cats bukan lawan mudah berdasarkan beberapa pertemuan sebelum ini yang menyaksikan JDT hanya menang dengan jurang tipis dalam saingan Liga Super dan Piala FA.

“Setiap perlawanan berbeza tetapi final tetap final. Kami mahu memberikan aksi terbaik kerana peluang ini boleh membuka ruang untuk pasukan mencipta lebih banyak sejarah.

“Kuching City merupakan pasukan yang konsisten musim ini dan mereka layak berada di final,” katanya.

Sementara itu, penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak memandang rendah kemampuan lawan selepas pernah dikejutkan Kuala Lumpur City FC pada final edisi 2021.

“Saya masih berada dalam pasukan ketika kami tewas kepada KL City dan ia menjadi pengajaran besar buat kami.

“Sekarang JDT sudah mempunyai identiti tersendiri dan setiap pemain perlu menjaga standard kelab ini kerana membawa nama JDT adalah satu tanggungjawab besar,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button