JCL, AI Rudder meterai kerjasama guna ‘AI Voice Agents’ dalam operasi pembiayaan pengguna
KUALA LUMPUR – JCL Credit Leasing Sdn Bhd (JCL) dan AI Rudder mengumumkan pemeteraian perjanjian komersial bagi menggunakan teknologi AI Voice Agents dalam operasi pembiayaan pengguna JCL di Malaysia.
Kerjasama itu melibatkan penggunaan AI Voice Agents dalam dua operasi utama iaitu pengesahan pelanggan ketika proses permohonan pembiayaan serta kutipan hutang secara proaktif.
Teknologi berkenaan dikuasakan oleh Voyager, model bahasa besar (LLM) milik AI Rudder yang direka khusus untuk industri perkhidmatan kewangan, membolehkan pemprosesan data kompleks, pemahaman konteks perbualan dan penaakulan masa nyata dengan tahap ketepatan tinggi.
Menurut JCL, pelaksanaan komersial itu susulan kejayaan fasa perintis yang menunjukkan teknologi AI Rudder mampu mengurus interaksi pelanggan pada skala besar serta meningkatkan kecekapan operasi.
Sebagai syarikat pembiayaan pengguna yang menawarkan pembiayaan peribadi dan pembiayaan produk melalui rangkaian pengedar motosikal serta barangan elektronik, JCL berdepan jumlah permohonan pembiayaan yang tinggi dan memerlukan proses pengesahan pelanggan yang pantas.
Melalui penggunaan AI Voice Agents, proses pengesahan pelanggan dapat dipercepatkan dengan keupayaan teknologi berkenaan memahami input tidak berstruktur daripada pemohon serta membantu membuat keputusan secara masa nyata.
“Inovasi digital menjadi sebahagian penting strategi pertumbuhan syarikat dalam meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan dan rakan niaga.
“Fasa perintis bersama AI Rudder membuktikan AI mampu meningkatkan kecekapan operasi, mempercepat pengesahan pelanggan serta menyokong penglibatan pelanggan secara lebih meluas, kata Pengarah JCL Credit Leasing Sdn Bhd, Yutaka Tanimoto dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu Pengurus Negara Malaysia AI Rudder, Roshan Gill dalam kenyataan sama turut berkata, kerjasama itu membawa teknologi kecerdasan buatan (AI) yang bersedia digunakan dalam operasi sebenar ke pasaran pembiayaan pengguna Malaysia.
Jelas beliau, institusi kewangan pada masa depan dijangka menggabungkan tenaga kerja manusia dengan ejen AI bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan.
Integrasi teknologi itu turut disokong oleh JurisTech, syarikat teknologi kewangan Malaysia yang menyediakan perisian pengurusan kredit dan pemberian pinjaman, bagi memastikan aliran data antara AI Voice Agents dan sistem teras JCL berjalan lancar.
Pelaksanaan itu merupakan sebahagian usaha JCL memodenkan operasi syarikat ketika mengembangkan perkhidmatan di seluruh Malaysia, selain memperkukuh penggunaan automasi berasaskan AI dalam sektor perbankan, perkhidmatan kewangan dan insurans (BFSI).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













