AGAMA

Jangan bimbang, takut soal rezeki – Ustaz Kazim

PUTRAJAYA – Umat Islam diingatkan agar tidak bimbang atau takut terhadap soal rezeki termasuk dalam membesarkan anak-anak, sebaliknya memperkukuh keyakinan terhadap qada’ dan qadar Allah SWT yang telah menetapkan rezeki setiap insan sejak dilahirkan.

Pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Mohammad Kazim Elias berkata, Allah SWT telah menjamin kehidupan dan rezeki manusia di muka bumi sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-A‘raf ayat 10 yang bermaksud bahawa bumi dijadikan sebagai tempat tinggal dan sumber kehidupan untuk manusia.

Menurut beliau, ayat berkenaan jelas membuktikan bahawa manusia tidak perlu terlalu risau tentang kelangsungan hidup kerana setiap kelahiran telah disertakan dengan rezekinya sendiri.

“Lahir sahaja kita di dunia, sudah ada rezeki untuk kita. Jadi jangan takut kalau ramai anak, apa nak diberi makan,” katanya dalam program Forum Perdana Ehwal Islam di Kompleks Islam Putrajaya yang disiarkan di Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) malam tadi.

Ustaz Kazim turut merujuk Surah al-Baqarah ayat 233, yang menjelaskan bahawa bayi yang dilahirkan akan disusukan oleh ibunya selama dua tahun yang sempurna, sebagai bukti bahawa Allah SWT telah menyediakan rezeki sejak detik kelahiran.

“Bayi yang lahir tidak perlu diajar bagaimana hendak minum susu ibu, tidak perlu susah-payah menyediakan apa-apa, kerana Allah SWT telah mengurniakan rezeki itu secara semula jadi,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa umat Islam tidak seharusnya menyimpan sangkaan buruk terhadap Allah SWT atau menganggap-Nya tidak adil dalam pembahagian rezeki.

“Allah itu Maha Baik, Maha Pemurah dan Maha Mengasihani sebagaimana lafaz Bismillahirrahmanirrahim. Maka jangan ada perasaan takut atau bimbang yang melampau terhadap rezeki,” katanya.

Beliau menambah, Allah SWT bukan sahaja menjanjikan rezeki, malah mengurniakan usaha, tenaga, akal dan jalan kepada manusia untuk berikhtiar mencarinya.

“Insya-Allah, jika kita berusaha, rezeki itu akan sampai. Rezeki tidak pernah salah alamat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button