[VIDEO] Jam Swatch : Bukan hanya sebab warna tapi ‘mesejnya’
KUALA LUMPUR – Rampasan yang dilakukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap jam berjenama Swatch baru-baru ini bukan hanya kerana tema warna tetapi turut memaparkan unsur berkaitan LGBT.
Sehubungan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan tindakan selanjutnya kepada KDN.
@malaysiatribune Bukan isu warna tapi pengaruh LGBT diletakkan di jam – ulas Anwar berkenaan rampasan jam Swatch #malaysiatribune #anwaribrahim #lgbt #swatch
“Saya serahkan kepada kementerian itu untuk menjelaskan serbuan dan rampasan kerana saya tidak mempunyai butiran penguatkuasaan.
“Isunya bukan warna (tema) tetapi kerana ada unsur LGBT diletakkan pada jam berkenaan,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Festival Turath Islami Selangor 2023 anjuran Kerajaan Negeri Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam hari ini.
Rampasan jam tangan Swatch dilaporkan media pada 13 Mei lalu memaparkan koleksi jam tangan dengan kombinasi warga pelangi yang sinonim dengan gerakan LGBT antarabangsa.
Susulan rampasan itu, Ketua Kumpulan Swatch, Nick Hayek Jr secara sinis menemplak tindakan KDN dan meminta pihak berkuasa itu merampas semua produk dengan warna berkenaan termasuk pelangi (sebenar).
Hayek juga menjelaskan bahawa pengeluaran koleksi jam tangan itu tidak mempunyai sebarang motif atau agenda sebaliknya hanya menyampaikan mesej keamanan dan cinta.
Kumpulan Swatch dikatakan akan membuat rayuan agar jam tangan yang dirampas itu dikembalikan.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail masih berdiam diri mengenai isu tersebut dan mendakwa masih menunggu laporan penuh mengenai tindakan penguatkuasaan itu.
Di media sosial, tindakan KDN itu mendapat pelbagai reaksi apabila ramai yang menyokong usaha kerajaan mengekang kemasukan anasir LGBT di negara ini.
Tidak kurang juga yang berpandangan tindakan itu sebagai keterlaluan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








