BERITA SEMASADALAM NEGERI

Isu tanah sekolah agama di Dengkil belum diwarta, penduduk bimbang hak milik terlepas

DENGKIL – Tanah menempatkan sebuah sekolah agama di sini, yang didakwa masih belum diwartakan secara rasmi, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk mengenai masa depan institusi itu.

Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Rani berkata, kebimbangan mengenai perkara tersebut telah dimaklumkan kepadanya ketika menghadiri satu mesyuarat di sekolah itu pada bulan Mei lalu.

Al Rasyid berharap isu itu mendapat perhatian pihak berwajib untuk diselesaikan.

“Beberapa wakil penduduk telah menyuarakan kegusaran mereka bahawa status tanah yang tidak diwartakan akan menyukarkan pihak sekolah untuk menerima peruntukan rasmi daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Lepas mesyuarat, mereka berkumpul dan beritahu saya yang tanah sekolah itu belum diwartakan. Disebabkan itu, peruntukan dari JAIS pun susah nak masuk,” jelas Al Rasyid kepada Malaysia Tribune hari ini.

Bertindak atas aduan tersebut, beliau segera mendapatkan penjelasan daripada Pejabat Agama Islam Daerah Sepang (PAID).

BACA : JPKK Dengkil luah rasa kecewa aduan jalan retak diabaikan

Susulan itu katanya, PAID mencadangkan agar surat rasmi dihantar kepada JAIS dan Pejabat Tanah untuk tindakan lanjut.

“Saya wakilkan pihak sekolah untuk hantar surat kepada Pejabat Tanah dan pihak sekolah sendiri buat surat kepada JAIS.

“Sekarang, kita sedang tunggu perbincangan antara JAIS dengan Pejabat Tanah,” katanya lagi.

Beliau turut meluahkan harapan agar tanah tersebut segera diwartakan demi menjamin kepentingan pendidikan agama di kawasan tersebut.

“Besar harapan saya dan penduduk, agar pihak berkenaan wartakan dulu tanah itu untuk sekolah agama.

“Kita risau kalau-kalau nanti ada tauke besar cuba beli tanah itu, takut terlepas pula. Benda macam ini bukan tak pernah berlaku, lebih-lebih lagi sebab itu tanah kerajaan,” tegas beliau.

Tegasnya, kuasa mewartakan atau menganugerahkan tanah kerajaan terletak di tangan pihak berkuasa, justeru tindakan awal perlu diambil bagi mengelak sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan masa depan sekolah dan anak-anak yang belajar di sana.

BACA : JPKK Dengkil pantau rapat isu pencerobohan tanah masjid

Tambahnya lagi, sekolah agama berkenaan berperanan dalam pembangunan sahsiah dan pendidikan Islam bagi komuniti setempat.

Oleh itu ujarnya, penyelesaian terhadap isu pemilikan tanah tersebut amat diperlukan demi memastikan kelangsungan peranan institusi berkenaan tidak terganggu pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button