BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAAN

Laluan masuk ke tapak sampah dikawal, siasat segera dalang – Ketua Kampung Dengkil

DENGKIL – Laluan masuk ke tapak pembuangan sampah haram berskala besar di Dengkil dipercayai dikawal pihak tertentu bagi menghalang akses orang luar, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kegiatan sebenar di tapak berkenaan.

Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Rani, mendedahkan bukan sahaja penduduk tempatan, malah wartawan dan pihak berkuasa juga berdepan kesukaran untuk memasuki kawasan tersebut yang terletak berhampiran kawasan penempatan.

“Tempat itu memang ada kawalan. Orang luar yang cuba masuk memang tak lepas. Ada kes penduduk sendiri dihalau ketika cuba tengok apa berlaku,” katanya kepada Malaysia Tribune ketika ditemui semalam.

Menurut beliau, pengawasan ketat itu menimbulkan tanda tanya mengenai siapa yang melindungi aktiviti haram tersebut dan menegaskan bahawa siasatan perlu difokuskan kepada dalang utama, bukan hanya kepada pemandu lori yang masuk membuang sampah di situ.

“Kita tak boleh hanya tangkap pemandu lori. Kena siasat telefon mereka. Dari situ boleh tahu siapa yang arahkan, siapa yang urus. Itu yang kita nak tahu,” tegasnya.

Selain itu, Al Rasyid turut mencadangkan penggunaan dron bagi memperkukuh aspek pemantauan, sekali gus membolehkan tindakan segera diambil.

“Dengan dron, kita boleh pantau secara terus. Bila ada lori masuk, terus boleh arah penguat kuasa pergi ke lokasi.

“Sekarang pun dah ada operasi malam, cuma kita harap ia dibuat secara konsisten dan ada pengakhirannya (selesai),” ujarnya.

Dalam operasi penguatkuasaan Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) baru-baru ini, wartawan Malaysia Tribune menyaksikan sendiri laluan masuk ke kawasan itu dikawal oleh individu untuk menghalang kemasukan pihak tidak berkenaan.

Lokasi tapak pembuangan sampah itu juga terletak di lokasi terpencil dengan jalan tidak berturap yang sempit, berdebu dan hanya boleh dilalui lori dan pacuan empat roda.

Sehubungan itu, Al Rasyid berharap, tindakan pihak berkuasa terhadap kegiatan itu akan diteruskan sehingga bertemu pengakhirannya.

“Alhamdulillah, selepas pendedahan penduduk kampung dan pihak media mengenai operasi tapak pembuangan itu dihebahkan di media sosial, kami nampak mula ada tindakan,” katanya.

Justeru beliau menyeru agar komitmen jangka panjang daripada semua pihak diteruskan demi membanteras sindiket pelupusan sampah haram yang menjejaskan alam sekitar dan kesejahteraan penduduk di situ.

“Agensi ada kemampuan, tapi kalau tiada kesungguhan dan tindakan berterusan, masalah ini akan berulang.

“Ia bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Semua mesti serius dan jangan berkompromi,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button