JENAYAH & MAHKAMAH

Inkues Zara Qairina: AGC serah notis tunjuk sebab kepada aktivis Mona Din

Permulaan kepada prosiding pengkomitan kerana hina mahkamah

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan Notis Untuk Tunjuk Sebab ke atas individu bernama Che Muna Din susulan hantarannya di media sosial berkenaan prosiding inkues Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

AGC dalam satu kenyataan berkata, notis itu diserahkan semalam dan dikeluarkan selaras dengan Aturan 52 Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

“Penghantaran Notis Untuk Tunjuk Sebab ini merupakan sebahagian daripada prosedur yang perlu dipatuhi bagi memulakan prosiding pengkomitan kerana menghina mahkamah,” kata kenyataan itu.

Menurut AGC, hantaran dibuat Che Muna di akaun Facebook ‘Mona Din’ 4 Sept lalu yang mempertikai keterangan saksi pakar, Dr Jessie Hiu, berpotensi untuk mempengaruhi pandangan awam serta mengganggu perjalanan prosiding inkues yang sedang dijalankan.

“Jabatan ini juga ingin memaklumkan bahawa pertuduhan jenayah terhadap beberapa individu lain yang telah membuat kenyataan berkaitan dengan kes melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir, yang berpotensi mengganggu perjalanan prosiding Inkues, akan dikemukakan dalam masa terdekat.

“Jabatan ini memandang serius sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses keadilan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas menurut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian,” kata kenyataan itu lagi.

Pada masa yang sama, AGC turut ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan sebarang hantaran yang boleh menimbulkan kekeliruan atau mengganggu prosiding mahkamah yang sedang berjalan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button