LUAR NEGARA

Indonesia haramkan e-dagang TikTok

Langkah diambil bagi lindungi peniaga di luar talian dan pasaran

JAKARTA – Indonesia bertindak mengharamkan transaksi e-dagang dalam platform media sosial, TikTok.

Tindakan berkuat kuasa serta-merta itu dibuat bagi melindungi peniaga di luar talian dan pasaran.

Menurut Kementerian Perdagangan, harga produk yang ditawarkan pada platform e-dagang itu “terlalu murah” dan telah menjejaskan peniaga kecil dan sederhana di luar premis.

Menteri Perdagangan Indonesia, Zulkifli Hasan berkata, peraturan itu bertujuan untuk memastikan persaingan perniagaan secara adil dan saksama, sambil menambah ia juga bertujuan memastikan perlindungan data pengguna.

Tambahnya, pengendali platform mempunyai masa seminggu untuk mematuhi peraturan atau menghadapi ancaman penutupan.

Sementara itu, jurucakap TikTok berkata, pihaknya kesal dengan keputusan pemerintah baru-baru ini untuk mengharamkan urus niaga e-dagang di media sosial, kerana langkah itu boleh menjejaskan mata pencarian ramai penggunanya.

Katanya, jutaan orang di Indonesia yang bergantung pada pentas video pendek untuk mencapai lebih ramai pelanggan, sekali gus menambah pendapatan mereka.

Tindakan Indonesia dilihat agak mengelirukan kerana sebelum ini, TikTok telah berjanji untuk melabur berbilion dolar di Asia Tenggara, terutamanya di Indonesia.

Aplikasi media sosial yang dimiliki ByteDance yang berpangkalan di China itu, mempunyai 125 juta pengguna aktif di Indonesia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button