Individu jatuh di landasan LRT punca laluan Kelana Jaya tergendala
KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan sementara susulan insiden seorang penumpang terjatuh di kawasan landasan di Stesen Abdullah Hukum, petang tadi.
Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 6.09 petang, sekali gus menjejaskan jadual perjalanan tren di laluan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, sebagai langkah keselamatan, bekalan kuasa di stesen tersebut telah dinyahaktifkan bagi membolehkan pihak polis, bomba dan pasukan ambulans menjalankan operasi menyelamat di lokasi kejadian.
“Susulan insiden tersebut, perkhidmatan tren antara Stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum dihentikan buat sementara waktu.
“Bagi mengurangkan kesulitan penumpang, perkhidmatan alternatif termasuk bas perantara percuma telah disediakan,” katanya.
Rapidrail berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat punca kejadian, selain memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas akibat gangguan dan kelewatan perkhidmatan tersebut.
Dalam video yang dikongsi pengguna Threads hari ini, seorang individu dirakam berada di bawah kepala LRT sebelum diselamatkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















