Ibu mangsa lemas tangki kumbahan gesa tahap keselamatan sekolah dipertingkat
NILAI – Ibu kepada kanak-kanak yang maut selepas terjatuh ke dalam tangki septik kelmarin menggesa pihak berkenaan meningkatkan tahap keselamatan di kawasan sekolah bagi mengelakkan kejadian sama menimpa murid lain, terutamanya pelajar berkeperluan khas.
Norfazila Md Lajin, 43, berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu memeriksa semula dan menukar penutup mainhole yang dilaporkan ringan dan mudah diangkat kanak-kanak.
Beliau juga mencadangkan supaya kawasan tersebut dipagarkan bagi menghalang akses murid.
“Harap JKR dapat tukar kepada besi atau pagarkan kawasan mainhole supaya kanak-kanak tidak boleh masuk.
“Di sekolah itu terdapat murid PPKI (Program Pendidikan Khas Integrasi). Perkara ini sudah terjadi kepada anak saya, mudah-mudahan tidak berulang terhadap anak yang lain,” katanya memetik laporan Metro Online.
Dalam kejadian Sabtu lalu, murid tahun tiga, Abdul Fattah Khairol Rizal meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah di Lenggeng kira-kira pukul 10 pagi.
Norfazila yang juga guru Matematik di sebuah sekolah menengah mengakui, masih bersedih dengan kehilangan anak lelaki tunggal daripada empat beradik itu.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana mendapat sokongan moral daripada pihak sekolah, jabatan pendidikan dan masyarakat.
“Bila ramai orang datang, saya tak rasa sunyi, tapi apabila malam dan semua sudah balik barulah terasa kehilangan itu.
“Arwah seorang anak yang baik, taat dan mudah diasuh. Yang paling terasa, sebelum tidur dia akan cari saya dan suami untuk salam dan ucap selamat malam,” katanya.
Norfazila turut berkongsi detik terakhir bersama anaknya pada pagi kejadian.
“Saya sempat sediakan mi hailam dan susu untuk dia dan adik-beradik yang lain. Hari tu dia nampak selera makan, walaupun biasanya susah nak makan.
“Saya rindu, semalam ada ibu rakan sekelas arwah tunjukkan gambar anaknya dengan Fattah. Arwah tersenyum dalam gambar itu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







