Hujan berterusan tahap waspada diramal landa Kelantan, Terengganu dan Pahang mulai esok hingga Selasa
PUTRAJAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula esok hingga 31 Disember.
Menurut MetMalaysia lagi, cuaca ekstrem membabitkan angin kencang dan laut bergelora turut dijangka membadai beberapa kawasan perairan negara sepanjang tempoh sama.
“Hujan berterusan tahap waspada dijangka dialami sembilan jajahan di Kelantan, membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
“Selain itu, seluruh Terengganu dan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin, Pahang juga berdepan situasi sama sepanjang tempoh terbabit.
“Sementara itu di Sabah, Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat juga mengalami hujan sama sehingga Selasa,” kata kenyataan itu, hari ini.
Dalam kenyataan sama, MetMalaysia memberitahu, angin timur laut yang berkelajuan di antara 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dijangka membadai kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan, dengan ombak mencecah ketinggian 3.5 meter.
“Keadaan laut yang bergelora itu berpotensi membahayakan bot-bot kecil, aktiviti rekreasi laut serta sukan air.
“Selain itu, kenaikan paras air laut turut dijangka berlaku di pesisir pantai di kawasan yang terjejas, membawa risiko limpahan air laut dari Ahad hingga Isnin.
“Angin kencang yang sama turut dijangka membadai perairan selatan Samui, Tioman, selatan Bunguran serta kawasan sekitar Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Palawan, sehingga Selasa depan,” katanya lagi.
Jelas MetMalaysia, ombak di kawasan itu boleh mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter, menambah risiko terhadap keselamatan aktiviti laut.
Bagi perairan Condore dan barat laut Reef North, MetMalaysia mengeluarkan amaran kategori ketiga, di mana angin dijangka melebihi 60 km/j dengan ombak lebih 4.5 meter, yang berpotensi membahayakan semua aktiviti perkapalan dan pantai, termasuk pekerja di pelantar minyak.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran kategori kedua untuk perairan utara Bunguran serta timur laut dan barat daya Reef North.
Angin berkelajuan 50 hingga 60 km/j dan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter dijangka melanda kawasan tersebut, memberi ancaman kepada aktiviti perkapalan, menangkap ikan, serta perkhidmatan feri.
MetMalaysia mengingatkan orang ramai untuk sentiasa peka dengan perkembangan cuaca terkini dan mengambil langkah berjaga-jaga, terutama mereka yang terbabit dengan aktiviti luar serta perkapalan.
Keadaan itu dijangka berlarutan sehingga awal minggu depan dan pemantauan cuaca akan terus dilakukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







