Hilang sokongan majoriti: MB perlu menghadap Yang Dipertuan Besar, Undang Luak, Tunku Besar Tampin
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun perlu segera menghadap Raja Pemerintah Negeri Sembilan sekiranya benar beliau telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), susulan tindakan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) yang dikatakan menarik sokongan terhadapnya.
Raja Pemerintah Negeri Sembilan ialah Yang Dipertuan Besar dan Pembesar Memerintah ialah Undang Luak yang empat serta Tunku Besar Tampin.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, dalam keadaan tersebut, Menteri Besar mempunyai dua pilihan iaitu meletakkan jawatan atau memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jika ternyata sudah hilang undi percaya, Menteri Besar perlu menghadap pemerintah Negeri Sembilan iaitu Yang Dipertuan Besar bersama Pembesar Memerintah.
“Menteri Besar boleh meletakkan jawatan atau meminta DUN dibubarkan. Bagaimanapun sebelum Yang Dipertuan Besar hendak bersetuju atau tidak, mesti ada persetujuan majoriti daripada Pembesar Memerintah,” katanya kepada Malaysia Tribune ketika diminta mengulas isu tersebut.
Menurut beliau, Raja Pemerintah Negeri Sembilan mempunyai kuasa untuk menolak permohonan pembubaran DUN sekiranya berpandangan sebaliknya.
BACA JUGA:
14 ADUN BN Negeri Sembilan tarik sokongan, hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar
Katanya, jika permohonan pembubaran ditolak, maka Menteri Besar bersama barisan EXCO kerajaan negeri hendaklah meletakkan jawatan bagi membolehkan pemerintah negeri melantik Menteri Besar baharu.
“Pemerintah Negeri Sembilan boleh menolak permintaan Menteri Besar untuk membubarkan DUN.
“Jika ini berlaku, maka Menteri Besar dan EXCO hendaklah meletakkan jawatan untuk membolehkan raja pemerintah melantik Menteri Besar yang baharu,” jelasnya.
Terdahulu, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan dilaporkan sebulat suara hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan dan menarik sokongan terhadap beliau.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan bahawa keputusan drastik itu dibuat secara sebulat suara selepas mengambil kira krisis yang didakwa melanda institusi adat dan perlembagaan negeri tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








