BERITA SEMASABISNES & EKONOMIGAYA HIDUP

Hairkunst lancar Hijabis Luxe, salon Muslimah berkonsep mewah di Bangi

BANGI – Hairkunst, jenama salon profesional dalam industri kecantikan, melakar satu lagi pencapaian penting menerusi pembukaan rasmi Hairkunst Hijabis Luxe di Bandar Baru Bangi, sekali gus memperkenalkan konsep salon muslimah berteraskan privasi dan perkhidmatan eksklusif.

Pengasas Bersama Hairkunst, Bambang Soteto berkata, pemilihan Bandar Baru Bangi sebagai lokasi adalah strategik berikutan kemudahan parkir yang lebih selesa, termasuk penyediaan perkhidmatan valet kepada pelanggan.

Menurutnya, kemudahan itu bertujuan memberi pengalaman seumpama berada di pusat beli-belah premium, sekali gus mengurangkan kesulitan pelanggan untuk mencari tempat letak kenderaan.

“Hairkunst Hijabis Luxe turut menyediakan parkir khas serta perkhidmatan valet bagi memastikan keselesaan maksimum,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pembukaan Hijabis Luxe di sini baru-baru ini.

salon muslimah
Rakan kongsi Hairkunst, Yuskiahniza Md Yusof.

Rakan kongsi Hairkunst, Yuskiahniza Md Yusof pula berkata, salon berkenaan beroperasi hampir sepenuhnya melalui sistem tempahan dengan sekitar 90 peratus pelanggan membuat janji temu lebih awal bagi mengekalkan konsep perkhidmatan satu pelanggan satu penggaya rambut.

Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan layanan lebih peribadi dan eksklusif tanpa amalan seorang penggaya mengendalikan beberapa pelanggan serentak.

“Setiap pelanggan dilayan secara one-to-one oleh penggaya berpengalaman,” katanya sambil menambah hanya penggaya rambut senior dengan pengalaman minimum 10 tahun ditempatkan di Hairkunst Hijabis Luxe.

salon
Hijabis Luxe tampil sebagai salon muslimah eksklusif dengan pendekatan perkhidmatan satu pelanggan satu penggaya rambut.

Menurut beliau, Hairkunst Hijabis Luxe menampilkan elemen tambahan berkonsep mewah atau ‘luxury’ berbanding cawangan terdahulu, termasuk ruang rawatan individu tertutup.

“Kami menyediakan bilik khas berbanding konsep langsir, tandas peribadi, ruang duduk yang dihias eksklusif serta bilik rawatan sesuai untuk pelanggan yang memerlukan privasi tambahan.

“Selain itu, Hairkunst Hijabis Luxe juga menyediakan ruang yang sesuai untuk pelanggan bekerja, termasuk kemudahan WiFi dan ruang yang kondusif untuk mesyuarat dalam talian,” katanya.

salon muslimah
Ruang dalaman Hairkunst Hijabis Luxe yang direka khas bagi memastikan privasi dan keselesaan pelanggan wanita Muslimah.

Mengulas mengenai produk penjagaan rambut, Yuskiahniza berkata, Hairkunst Hijabis Luxe menggunakan produk penjagaan rambut berjenama premium serta peralatan profesional seperti GHD dan Dyson.

Dari segi perkhidmatan, harga bermula RM120 bagi potongan rambut termasuk cucian dan blow, lengkap dengan perkhidmatan valet, minuman dan sajian ringan percuma yang disediakan.

Dalam masa sama, Yuskiahniza berkata, Hairkunst turut memberi penekanan kepada pendidikan pelanggan khususnya wanita berhijab berkaitan penjagaan rambut dan kulit kepala, termasuk pemilihan produk, rawatan bersesuaian serta kepentingan menjaga kebersihan kulit kepala.

Yuskiahniza berkata, pendekatan konsultasi percuma dan pendidikan berterusan menjadi kekuatan Hairkunst bagi memastikan pelanggan memahami keperluan rambut mereka, sekali gus membina keyakinan dan hubungan jangka panjang.

salon
Pengasas Bersama Hairkunst, Bambang Soteto.

Sebagai rekod, dari sudut pelaburan, Hairkunst telah memperuntukkan kos keseluruhan hampir RM700,000 bagi merealisasikan pembukaan cawangan berkenaan.

Pelaburan tersebut meliputi reka bentuk dalaman tertutup dan patuh syariah, kelengkapan profesional bertaraf premium, pemilihan produk vegan berkualiti tinggi serta pembangunan sistem operasi yang menyokong pengalaman pelanggan yang eksklusif dan selesa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button