SUKAN

Gol sendiri Mukiele selamatkan Liverpool di Anfield

LIVERPOOL – Usaha Liverpool untuk bangkit daripada prestasi tidak menentu terus tersekat apabila hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Sunderland dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, awal pagi tadi.

Aksi bermula perlahan buat tuan rumah dengan Sunderland tampil lebih agresif sejak sepak mula.

Pelawat hampir mengejutkan penyokong Liverpool apabila percubaan Trai Hume terkena palang pada minit ke-32, sebelum tandukan Omar Alderete pula singgah di tiang pada babak kedua.

Sunderland akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-67 menerusi rembatan Chemsdine Talbi dari jarak 25 meter yang terkena Virgil van Dijk sebelum menewaskan Alisson Becker.

Arne Slot sekali lagi membuat keputusan kontroversi apabila mengekalkan Mohamed Salah di bangku simpanan pada perlawanan liga kedua berturut-turut.

Salah hanya dimasukkan pada separuh masa kedua namun kemasukannya tidak banyak mengubah corak permainan The Reds yang kelihatan buntu.

Liverpool yang kurang mencipta peluang jelas hanya hampir menyamakan kedudukan apabila Alex Mac Allister terkena tiang pada separuh masa pertama.

Tuan rumah bagaimanapun terselamat daripada kekalahan apabila rembatan Florian Wirtz pada minit ke-81 terbias pada Nordi Mukiele sebelum menerjah gawang sendiri.

Detik paling mencemaskan hadir pada masa kecederaan apabila Wilson Isidor hampir menjaringkan gol kemenangan Sunderland, namun Federico Chiesa bertindak pantas menutup ruang dan mengeluarkan bola tepat di atas garisan.

Aksi hambar itu sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai prestasi skuad bimbingan Slot yang kini gagal menampilkan watak selaku juara bertahan.

Alexander Isak sekali lagi tidak menyerlah, manakala beberapa pemain utama gagal mencipta impak.

Walaupun kemenangan ke atas West Ham baru-baru ini memberi sedikit kelegaan, persembahan di Anfield membayangkan Liverpool masih belum keluar daripada tempoh sukar selepas sembilan kekalahan dalam 12 perlawanan sebelum ini.

Sunderland pula berhak pulang dengan satu mata dan mungkin juga berasa kecewa kerana tidak menang berdasarkan peluang yang dicipta.

Dengan sentuhan taktikal Regis le Bris dan pengalaman Granit Xhaka mengemudi bahagian tengah, The Black Cats tampak semakin matang serta yakin dalam saingan liga.

Penjaga gol Robin Roefs turut menunjukkan ketenangan sepanjang perlawanan, membantu Sunderland kekal kukuh meskipun Liverpool cuba membuat tekanan lewat permainan.

Prestasi konsisten itu menyaksikan Sunderland kini berada di tangga keenam liga dengan 23 mata dan terus mencetuskan keyakinan bahawa mereka mampu memberi saingan lebih besar musim ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button