
Giliran Ahli Parlimen Jeli dari PN pula beri sokongan kepada PM
KUALA LUMPUR – Jumlah Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus meningkat apabila hari ini giliran Ahli Parlimen Jeli pula bertindak demikian.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik menjelaskan ia dibuat berdasarkan pertimbangan tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat terkini mengenai kos sara hidup, himpitan mengenai keperluan asas yang perlu dipertingkatkan dan pembangunan yang mesti diteruskan di dalam kawasan parlimennya.
“Meneliti, memperhalusi dan mempertimbangkan dengan sehabis baik tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat terkini mengenai kos sara hidup, himpitan mengenai keperluan asas yang perlu dipertingkatkan dan pembangunan yang mesti diteruskan di dalam Kawasan Parlimen Jeli, maka saya sebagai Ahli Parlimen Jeli dengan ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri bermula dari tarikh kenyataan ini dikeluarkan,” katanya.
Zahari berkata, beliau menyedari rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi dan dalam alaf yang serba mencabar ini selaku Ahli Parlimen beliau harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat dalam Parlimen Jeli.
“Namun demikian, saya akan taat, setia dan kekal sebagai Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan saya bersedia berdepan dan menerima risiko dari tindakan disiplin parti demi mempastikan pengundi-pengundi dan rakyat dalam Parlimen Jeli tidak menjadi mangsa keadaan dan tidak ketinggalan menerima semua bentuk pembangunan dan bantuan dari Kerajaan Pusat,” katanya.
“Maka dengan ini saya juga mengisytiharkan untuk menyokong sebarang dasar-dasar dan inisiatif yang Kerajaan lakukan di dalam memulihkan ekonomi negara serta meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat. Sokongan saya ini berterusan sehingga pilihan raya umum (PRU) yang seterusnya,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa pengisytiharan sokongan kepada Perdana Menteri itu dibuat tanpa apa-apa paksaan, pengaruh dan tekanan dari mana-mana pihak dan dibuat atas kerelaannya sendiri demi rakyat di parlimen itu.
“Moga Allah s.w.t akan memberkati dan kepada Allah SWT saya berserah,” jelasnya lagi.
Zahari merupakan Ahli Parlimen keempat menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Labuan dan Gua Musang yang mana kesemuanya daripada BERSATU.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








