BERITA SEMASALUAR NEGARA

Gencatan senjata Thailand-Kemboja: Hun Manet hargai peranan Anwar, puji kebijaksanaan rundingan Putrajaya

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menyifatkan kejayaan rundingan damai yang berlangsung di sini semalam sebagai satu langkah bijak dan penuh hikmah dalam meredakan konflik sempadan antara Kemboja dan Thailand.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook selepas kembali dari Malaysia, Hun Manet turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas inisiatif menganjurkan mesyuarat khas yang mempertemukan wakil tertinggi kedua-dua negara yang sedang bergolak itu.

“Keputusan yang dicapai dalam rundingan ini amat bermakna. Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana menjadi pengantara yang adil dan menganjurkan mesyuarat ini di Putrajaya.

“Perjanjian gencatan senjata yang dimeterai menjadi asas penting dalam membina kepercayaan bersama dan memulihkan keadaan seperti sediakala,” kata beliau.

Hun Manet

Pertemuan bersejarah itu menyaksikan Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai duduk semeja buat pertama kali sejak tercetusnya ketegangan di sempadan utara Kemboja pada 24 Julai lalu.

Hasil rundingan menyaksikan kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menghentikan pertempuran bermula tengah malam Isnin, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memulihkan hubungan diplomatik yang tergugat akibat konfrontasi ketenteraan yang telah mengorbankan 13 nyawa, termasuk anggota tentera dan orang awam.

Konflik yang tercetus sejak Khamis lalu itu turut menyebabkan kira-kira 100,000 orang terpaksa dipindahkan dari kawasan terjejas di kedua-dua negara.

Dalam hantaran sama, Hun Manet turut menyampaikan penghargaan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan kerajaan China atas sokongan terhadap usaha damai tersebut.

Gencatan senjata ini dilihat sebagai permulaan penting ke arah kestabilan rantau ini dan bukti bahawa rundingan damai masih menjadi jalan paling bermaruah dalam menangani konflik antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button