BERITA SEMASA

Gempa di Indonesia: Tiada ancaman tsunami di Malaysia

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengesahkan tiada ancaman tsunami terhadap Malaysia susulan kejadian gempa bumi kuat bermagnitud 6.0 yang berlaku di Laut Banda, Indonesia, awal pagi hari ini.

Ketua Pengarah METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, gempa tersebut dikesan berlaku pada jam 2.38 pagi dengan pusat gegaran terletak pada koordinat 7.9 darjah selatan dan 127.8 darjah timur.

Menurutnya, kedalaman gempa dianggarkan 173 kilometer dengan lokasi kira-kira 467 kilometer selatan dari Ambon, Indonesia.

“Berdasarkan penilaian semasa, kejadian gempa ini tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, METMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang dijangka melanda beberapa negeri sehingga jam 9 pagi.

Antara kawasan terlibat di Selangor ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat, manakala di Perak melibatkan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Perak Tengah, Bagan Datuk serta Hilir Perak.

Selain itu, di Sarawak, kawasan yang dijangka terjejas termasuk Serian, Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong dan Kapit (Song).

Tambah kenyataan itu, amaran turut melibatkan kawasan perairan di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta Selat Melaka dan tenggara Bunguran, Indonesia.

“Keadaan ini berpotensi menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter, sekali gus berbahaya kepada bot kecil,” katanya lagi.

Dalam pada itu, METMalaysia memaklumkan tiada sistem siklon tropika dikesan dalam kawasan pemantauan agensi berkenaan ketika ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button