Indonesia buat pembenihan awan kawal kebakaran hutan Riau
JAKARTA – Indonesia melancarkan operasi pembenihan awan bermula hari ini sebagai usaha mengawal kebakaran hutan dan tanah yang semakin meruncing di wilayah Riau.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari berkata, operasi itu dijadual berlangsung sekurang-kurangnya selama tujuh hari dan akan dilanjutkan kepada penilaian keadaan semasa di lapangan.
“Pesawat Cessna telah berlepas dari Lapangan Terbang Pondok Cabe di Banten semalam.
“Pembenihan awan akan menggunakan natrium klorida (NaCl) bagi merangsang hujan di kawasan yang terjejas akibat kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Langkah itu diambil susulan peningkatan bilangan titik panas yang dikesan di beberapa kawasan di Sumatera, khususnya di Riau.
Menurut data Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), sebanyak 1,208 titik panas dikesan di seluruh Sumatera semalam dengan 586 daripadanya direkodkan di wilayah Riau sahaja.
Kebakaran itu mencetuskan kebimbangan rentas sempadan apabila asap jerebu dilaporkan mula dikesan di beberapa kawasan di Malaysia.
Bagi memperkukuh usaha pemadaman, BNPB menggerakkan helikopter Bell 206 untuk rondaan udara serta memindahkan sebuah helikopter pengebom air Mi-8MSB-T dari Palembang ke Riau.
“Di samping operasi dari udara, pasukan petugas darat digerakkan secara menyeluruh bagi menyokong usaha pemadaman kebakaran di peringkat akar umbi.
“Pasukan melibatkan gabungan anggota tentera, polis, bomba, pegawai pengurusan bencana serta sukarelawan tempatan bagi memastikan kawalan kebakaran dapat dijalankan secara bersepadu dan berkesan,” ujarnya.
Abdul Muhari menegaskan, kerjasama antara agensi merupakan tunjang utama dalam menangani krisis kebakaran hutan yang berisiko menjejaskan kesihatan awam dan keselamatan wilayah.
“Gabungan usaha di darat dan udara diharap dapat mempercepatkan proses pemadaman serta mengurangkan kesan jerebu yang kini mula menyeberang sempadan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








