Gempa bumi kuat gegar selatan dan tengah Mexico, dua maut
MEXICO CITY – Gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter menggegarkan selatan dan tengah Mexico, semalam (waktu tempatan) mengorbankan dua nyawa.
Agensi Seismologi Kebangsaan Mexico memaklumkan, gempa berpusat berhampiran pekan San Marcos di negeri Guerrero, tidak jauh dari pusat peranginan pesisir Pasifik, Acapulco.
Susulan kejadian itu, lebih 500 gempa susulan direkodkan, lapor agensi berita antarabangsa.
Agensi pertahanan awam negeri melaporkan beberapa kejadian tanah runtuh berlaku di sekitar Acapulco serta di beberapa lebuh raya utama di negeri berkenaan.
Gabenor Guerrero, Evelyn Salgado berkata, seorang wanita berusia 50 tahun yang tinggal di sebuah komuniti kecil berhampiran pusat gempa maut selepas rumahnya runtuh.
Selain itu, sebuah hospital di Chilpancingo, ibu negeri Guerrero, mengalami kerosakan struktur serius menyebabkan beberapa pesakit terpaksa dipindahkan.
Di Mexico City dan Acapulco, penduduk serta pelancong dilihat bertempiaran keluar ke jalan raya sebaik gegaran dirasai.
Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada memaklumkan seorang individu meninggal dunia akibat kecemasan perubatan sebelum terjatuh ketika proses pemindahan dari sebuah bangunan.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan dan menjalankan penilaian kerosakan di kawasan terjejas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








