LUAR NEGARA

Gempa bumi 7.8 magnitud gegar Mindanao, seorang maut, banyak bangunan runtuh

MANILA – Sekurang-kurangnya seorang maut manakala beberapa bangunan dilaporkan runtuh selepas gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud melanda Pulau Mindanao di selatan Filipina hari ini.

Kejadian yang berlaku pada pagi tadi itu turut mencetuskan amaran tsunami di beberapa negara rantau Pasifik apabila pihak berkuasa Filipina dan Indonesia mengarahkan penduduk di kawasan pesisir pantai supaya segera berpindah ke kawasan lebih tinggi.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa dikesan di luar pesisir pantai, kira-kira 24 kilometer ke barat Sarangani di Mindanao.

Pegawai Polis Bandar Raya General Santos, Master Sarjan Robert Dagon berkata, setakat laporan awal, seorang disahkan terkorban manakala empat lagi mengalami kecederaan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan susulan banyak bangunan dilaporkan mengalami kerosakan serta runtuh akibat gegaran kuat tersebut.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan sebuah pusat beli-belah yang menempatkan restoran makanan segera runtuh sepenuhnya di General Santos, manakala sebuah bangunan dalam kawasan kampus sekolah tempatan turut musnah.

Sementara itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik memaklumkan gelombang tsunami berpotensi berlaku dalam tempoh tiga pukul akan datang melibatkan kawasan pesisir Filipina, Indonesia, Palau, Taiwan dan Papua New Guinea.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. mengarahkan sesi persekolahan di kawasan terjejas digantung serta-merta dan menggesa penduduk yang tinggal berhampiran pantai supaya meninggalkan kediaman mereka tanpa berlengah.

“Berpindahlah ke kawasan tinggi sekarang. Jangan tunggu lagi kerana nyawa lebih penting daripada harta benda,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia turut mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk di kawasan berisiko, manakala Jepun mengeluarkan nasihat tsunami di sepanjang pantai Pasifik dengan ombak setinggi sehingga satu meter dijangka melanda beberapa wilayah.

Filipina sememangnya sering dilanda gempa bumi kerana terletak di Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon aktiviti seismik aktif yang kerap mencetuskan gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Tahun lalu, dua gempa bumi kuat bermagnitud 7.4 dan 6.7 di timur Mindanao mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang, manakala gempa bumi bermagnitud 6.9 di Cebu meragut 76 nyawa serta merosakkan puluhan ribu bangunan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button