Galakan berpuasa pada Hari Asyura: Sunah yang dipenuhi kelebihan
BULAN Muharam adalah salah satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan dalam Islam.
Ia bukan sahaja menandakan permulaan tahun Hijrah, tetapi juga menjadi bulan yang amat digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh khususnya ibadah puasa sunat.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Seafdal-afdal puasa setelah bulan Ramadan adalah berpuasa pada bulan Allah, al-Muharam. Dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardu adalah solat malam (qiyamullail).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Memetik penerangan di laman web Mufti Wilayah Persekutuan, hadis ini menunjukkan kedudukan istimewa bulan Muharam di sisi Allah kerana disandarkan nama-Nya kepada bulan ini iaitu ‘Syahrullah’ (bulan Allah) yang tidak diberikan kepada mana-mana bulan lain.
Apabila sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah, ia menandakan kemuliaan yang luar biasa.
Rasulullah SAW juga pernah ditanya tentang bulan apakah yang terbaik untuk seseorang itu berpuasa selepas Ramadan. Baginda SAW menjawab:
“Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharam kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Walaupun berpuasa sepanjang bulan Muharam adalah digalakkan, terdapat satu hari yang diberikan perhatian khusus oleh Rasulullah SAW iaitu Hari Asyura (10 Muharam).
Daripada Abu Qatadah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Berpuasa pada Hari Asyura, sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Di samping itu, Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah dan mendapati golongan Yahudi berpuasa pada Hari Asyura, Baginda bertanya sebabnya.
Mereka menjawab bahawa ia adalah hari Allah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israel daripada Firaun. Maka Rasulullah SAW bersabda:
“Aku lebih berhak ke atas Musa daripada kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Lalu Baginda SAW berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan umat Islam supaya turut berpuasa pada hari itu.
Arahan Tidak Menyerupai Yahudi: Puasa 9 dan 10 Muharam
Rasulullah SAW menekankan supaya umat Islam tidak menyerupai amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharam.
Oleh itu, Baginda menyarankan agar berpuasa juga pada hari sebelumnya (9 Muharam) atau hari selepasnya (11 Muharam). Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda:
“Berpuasalah kalian pada Hari Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Baginda SAW juga bersabda:
“Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan, nescaya aku akan berpuasa pada hari ke-9 (Muharam).” (Hadis Riwayat Muslim)

Pandangan Ulama Tentang Kaedah Puasa Asyura
Para ulama membahaskan bentuk puasa yang terbaik dalam menyambut Hari Asyura.
Menurut Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam Zaad al-Ma’ad, terdapat tiga bentuk pelaksanaan puasa yang boleh dilakukan:
- Paling sempurna: Berpuasa pada 9, 10 dan 11 Muharam.
- Pilihan utama: Berpuasa pada 9 dan 10 Muharam.
- Minimum: Berpuasa pada 10 Muharam sahaja.
Ketiga-tiga bentuk ini adalah harus dan mendapat ganjaran, namun bentuk yang paling lengkap adalah yang melibatkan tiga hari, sebagai langkah berhati-hati dan untuk menyelisihi golongan Yahudi sepenuhnya.
Peluang Keemasan Meraih Keampunan
Firman Allah SWT: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 133)
Puasa di bulan Muharam khususnya pada 9 dan 10 Muharam adalah peluang besar bagi umat Islam untuk menghapus dosa-dosa silam dan meningkatkan ketakwaan.
Justeru, marilah kita sama-sama menghidupkan sunah ini dengan penuh keikhlasan. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba yang diredhai Allah SWT.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






