BERITA SEMASA

Food Bank Siswa bantu ringankan beban mahasiswa, KPDN rangka pelan tindakan baharu

PUTRAJAYA – Program Food Bank Siswa terus menjadi antara inisiatif penting Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam membantu mahasiswa yang berdepan kekangan mendapatkan bekalan makanan.

Food Bank Siswa bantu ringankan beban mahasiswa, KPDN rangka pelan tindakan baharu
Menteri KPDN, Datuk Armizan Ali

Menurut KPDN, program yang dilaksanakan melalui Sekretariat Food Bank Malaysia itu menumpukan usaha penyelamatan makanan (food rescue) dan pengagihan lebihan makanan (food surplus) kepada golongan memerlukan, khususnya pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

“Sejak mula digerakkan pada 2019, sebanyak 32 IPT seluruh negara termasuk IPT awam, swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan politeknik telah terlibat, dengan lima daripadanya terletak di Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Armizan Ali melawat foodbank

Program itu dijalankan melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk pengurusan universiti, Gerakan Pengguna Siswa (GPS), industri makanan serta badan bukan kerajaan (NGO). Sehingga 31 Oktober 2025, ia telah menerima sumbangan daripada 148 entiti industri, antaranya pengeluar makanan, rangkaian hotel, peruncit dan NGO, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 51,200 mahasiswa.

KPDN turut berkata, pihaknya akan terus memperkukuh peranan GPS sebagai rakan strategik yang mewakili suara mahasiswa dalam menangani isu kos sara hidup.

“Buat masa ini, terdapat 195 GPS melibatkan IPT awam, swasta, kolej universiti, kolej komuniti dan IPG.

“GPS akan memainkan peranan lebih aktif dalam membantu menggerakkan Program Food Bank Siswa, terutama di IPT yang masih belum melaksanakannya,” katanya lagi.

Pada 8 dan 9 Disember lalu, KPDN turut menganjurkan Konvensyen Food Bank Malaysia 2025 di Bangi, Selangor, yang bakal menjadi asas kepada penyediaan Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan 2026–2030.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelan berkenaan akan menjadi sebahagian daripada strategi memperkukuh Tonggak Keempat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) melibatkan aspek kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Selain menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pelan ini adalah transformasi kepada Program Food Bank Malaysia dalam memastikan bantuan makanan dapat disalurkan secara lebih sistematik dan mampan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button