BERITA SEMASASUKAN

FAM ambil alih peranan teknikal NFDP – MSN

KUALA LUMPUR – Peranan teknikal dalam pelaksanaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) secara rasmi diambil alih oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menurut Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurut MSN, langkah itu dilaksanakan sebagai strategi memperkukuh ekosistem pembangunan bakat bola sepak negara agar lebih tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi.

Menurut MSN, pengambilalihan tersebut melibatkan aspek teknikal sepenuhnya selaras dengan kepakaran serta mandat FAM sebagai badan induk bola sepak negara.

“Antara tanggungjawab utama yang digalas oleh FAM merangkumi latihan atlet, penyertaan kejohanan serta pengurusan kejurulatihan di semua peringkat pelaksanaan NFDP.

“Ia selaras dengan cadangan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membuat penilaian terhadap program pembangunan itu hasil permintaan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, MSN akan terus memainkan peranan penting dalam menguruskan aspek pengurusan dan sokongan atlet.

“Tanggungjawab MSN meliputi pentadbiran, pengurusan fasiliti dan kewangan, pengurusan pertandingan, kebajikan dan pendidikan atlet, pengurusan asrama dan pemakanan, perkhidmatan perubatan serta sains sukan, selain pelaksanaan program pembangunan atlet secara menyeluruh,” jelas kenyataan berkenaan.

Bagi memastikan tadbir urus NFDP terus telus dan berkesan, program itu dipantau menerusi tiga jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal.

Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan bertindak sebagai badan tertinggi dalam menetapkan hala tuju strategik NFDP, manakala Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan Ketua Pengarah MSN bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan dasar serta operasi program.

Sementara itu, Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM pula berperanan memantau dan menilai aspek teknikal pembangunan pemain serta kejurulatihan.

MSN menjelaskan pembahagian peranan yang jelas antara FAM dan MSN bertujuan memastikan NFDP dilaksanakan dengan lebih efektif dan profesional, sejajar dengan standard pembangunan bola sepak antarabangsa, di samping menjamin kebajikan serta perkembangan menyeluruh atlet muda negara.

“Menerusi struktur pengurusan yang lebih mantap dan tersusun ini, NFDP diyakini mampu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti tinggi yang bukan sahaja cemerlang di peringkat kebangsaan, malah berdaya saing di pentas antarabangsa, sekali gus memperkukuh masa depan bola sepak Malaysia,” kata MSN.

Sebelum ini, FAM mengumumkan pelantikan bekas ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal NFDP yang baharu bagi menggantikan Oscar Francisco Gonzalez, berkuat kuasa 1 Disember lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button