Fahmi Fadzil ucap sambutan Hari Wartawan Nasional
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini menzahirkan penghargaan kepada pengamal media atas sumbangan dalam menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat, sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang diraikan hari ini.
Dalam satu hantaran menerusi media sosial, beliau menyeru wartawan agar terus mengekalkan prinsip kewartawanan yang beretika, sejajar dengan peranan media sebagai tulang belakang demokrasi negara.
“Tanpa media yang bebas, bertanggungjawab dan berintegriti, sukar untuk sesebuah negara berkembang dengan sihat dari segi politik, ekonomi mahupun sosial,” katanya.
Tambah beliau, pengamal media berperanan penting bukan sahaja dalam melaporkan berita, tetapi juga dalam membina kesedaran masyarakat serta memperkukuh perpaduan nasional melalui penyampaian maklumat yang sahih dan seimbang.
“Saya percaya bahawa wartawan yang cekap dan beretika mampu menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat, serta mencorakkan wacana awam yang matang.
“HAWANA 2025 yang kini memasuki edisi kelima sejak diperkenalkan pada 2018, dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia sebagai agensi pelaksana.
“Pelbagai program dirangka bagi menyemarakkan sambutan, antaranya Pesta Pantun pada 31 Mei, majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun dan forum media bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun,” tambahnya.
Majlis Kemuncak HAWANA 2025 bakal berlangsung pada 14 Jun di WTCKL dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sambutan ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangan wartawan, malah memperkukuh solidariti dan profesionalisme industri media.
“HAWANA adalah manifestasi pengiktirafan negara terhadap jasa wartawan. Ia juga ruang untuk memperkukuh kerjasama antara kerajaan, media dan rakyat dalam membentuk landskap komunikasi yang lebih bertanggungjawab,” jelas Fahmi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







