BERITA SEMASAPOLITIK

PN hantar surat rundingan peruntukan, Fadillah akan beri jawapan

KUCHING – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan telah menerima surat daripada Perikatan Nasional (PN) yang meminta perincian mengenai rundingan berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Fadillah berkata, surat tersebut dikirim oleh Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan pihaknya akan meneliti sebelum memberikan maklum balas dalam masa terdekat.

“Saya akan meneliti dan mendapatkan panduan sebelum memberikan jawapan, namun tiada keperluan untuk membincangkan perkara ini secara terbuka di media,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan Kem Ihya Ramadan di sini, semalam.

PN hantar surat rundingan peruntukan, Fadillah akan beri jawapan
Datuk Seri Fadhilah Yusoff.

Terdahulu, Takiyuddin memaklumkan bahawa PN telah menghantar surat kepada Fadillah bagi mendapatkan penjelasan mengenai perbincangan berkaitan permohonan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang.

PN hantar surat rundingan peruntukan, Fadillah akan beri jawapan
Majlis penutupan Kem Ihya Ramadan di Kuching.

Menurutnya, surat itu dihantar bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai perkembangan rundingan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Fadillah enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang kini sedang dipertimbangkan oleh kerajaan.

Minggu lalu, Fadillah memaklumkan kerajaan bersedia mempertimbangkan permohonan Syed Saddiq dan secara prinsipnya, Ahli Parlimen berkenaan telah bersetuju dengan beberapa syarat yang ditetapkan kerajaan.

“Penyediaan draf perjanjian berkaitan peruntukan untuk Syed Saddiq kini berada di peringkat akhir,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button