Enam sekeluarga trauma MPV dihempap pokok
MELAKA – Enam sekeluarga termasuk empat kanak-kanak berdepan detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dihempap pokok ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kilometer 24, Kampung Air Panas, Jalan Kolam Air Panas, Bemban, di sini, malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.46 malam.
Beliau berkata, sebuah jentera bersama lima anggota diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khalid Aris dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari dan bantuan BBP Jasin digerakkan ke lokasi.
Katanya, berdasarkan maklumat awal ketika kejadian semua mangsa dalam perjalanan untuk pulang ke rumah.
“Anggota tiba di lokasi pada pukul 9.59 malam dan semua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam dan disahkan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang yang menghempap kenderaan berkenaan.
“Operasi terkawal pada pukul 10.27 malam dan tamat sepenuhnya pada jam 11.01 malam,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan memaklumkan kanak-kanak perempuan cedera di kaki, manakala mangsa lain termasuk pemandu lelaki berusia 27 tahun tidak cedera.
“Semua mangsa dikeluarkan oleh orang awam dalam keadaan selamat dan turut diberi rawatan awal oleh anggota perubatan,” katanya dihubungi di sini.
Dalam kejadian berasingan, beliau berkata, penunggang motosikal berusia 39 tahun cedera di bahu dan kaki selepas ditimpa dahan patah di Jalan Kampung Tehel, Bemban, di sini, dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam tadi ketika cuaca angin kuat serta hujan.
“Mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk rawatan dengan menaiki ambulans,” katanya
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








