Empat termasuk wanita ditahan, polis temukan ekstasi, ketamin
KULAI – Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita susulan penemuan dadah jenis ekstasi dan ketamin dalam serbuan di Taman Sungai Mas, di sini kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, wanita tempatan bersama tiga lelaki, termasuk dua warga asing itu ditahan dalam serbuan sekitar pukul 8.15 malam itu.
“Suspek berusia antara 27 hingga 40 tahun. Polis juga merampas tiga paket plastik lutsinar disyaki ketamin dengan anggaran berat 254 gram.
“Selain itu, 16 kepingan foil timah disyaki pil ekstasi dengan anggaran berat 45 gram dan sepaket plastik disyaki serbuk ekstasi dengan anggaran berat 1,015 gram.
“Kita turut merampas sekotak rokok mengandungi satu lipatan kertas berisi cebisan daun-daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat 7.6 gram. Dadah dirampas dianggar bernilai keseluruhan RM62,098,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam serbuan sama, polis turut menyita sebuah kereta Mazda 6 dan sebuah Nissan Teana, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM122,098.
“Seorang daripada suspek lelaki mempunyai dua rekod kes jenayah. Hasil ujian awal saringan air kencing pula mendapati dua suspek lelaki warga asing positif dadah THC, manakala yang lain negatif.
“Semua suspek kini ditahan reman tujuh hari sehingga 11 Disember ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







