JENAYAH & MAHKAMAH

Empat ditahan bantu siasatan kes buli, ugut pelajar perempuan

BEAUFORT – Polis menahan empat individu bagi membantu siasatan kes buli dan ugutan jenayah terhadap seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Membakut, dekat sini.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa menjadi sasaran perbuatan meminta wang secara berulang kali selain menerima ugutan daripada sekumpulan individu.

Menurut kenyataan itu, susulan laporan yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beaufort menjalankan operasi risikan sebelum berjaya menahan kesemua suspek di sekitar daerah berkenaan.

“Bertindak atas maklumat tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beaufort melancarkan tindakan pantas menerusi operasi risikan sebelum berjaya memberkas kesemua suspek,” menurut satu kenyataan semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan kerana melakukan gangguan atau buli yang mencetuskan ketakutan serta tekanan kepada mangsa, selain Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.

Polis berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan dan tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai, khususnya pihak sekolah dan ibu bapa, supaya sentiasa peka terhadap keselamatan pelajar serta segera melaporkan sebarang kejadian buli, ugutan atau pemerasan.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi di media sosial yang boleh mengganggu proses siasatan dan perundangan yang sedang berjalan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button