e-Invois Fasa 4: Tiada penalti dikenakan ke atas sebarang ketidakpatuhan sepanjang tempoh peralihan – HASiL
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) membenarkan pembayar cukai yang terlibat dalam pelaksanaan e-Invois fasa empat mengeluarkan e-Invois yang disatukan untuk semua aktiviti dan transaksi termasuk bagi industri atau aktiviti yang disenaraikan di bawah Seksyen 3.7 Garis Panduan Spesifik e-Invois.
Menurutnya dalam satu kenyataan, kebenaran itu diberikan susulan keputusan kerajaan yang bersetuju supaya pembayar cukai yang terlibat dalam pelaksanaan e-Invois fasa tersebut yang bermula dari 1 Januari lalu diberi tempoh peralihan selama 12 bulan berbanding tempoh enam bulan yang ditetapkan sebelum ini.
Sehubungan itu katanya, sepanjang tempoh peralihan yang bermula dari 1 Januari lalu sehingga 31 Disember ini, pembayar cukai dibenarkan melaksanakan beberapa perkara.
“Pengeluaran e-Invois disatukan juga dibenarkan walaupun terdapat permohonan e-Invois daripada pembeli.
“Selain dibenarkan mengeluarkan e-Invois bil kendiri yang disatukan untuk semua keadaan bil kendiri seperti yang digariskan di bawah Seksyen 8.3 Garis Panduan Spesifik e-Invois dan membenarkan apa-apa diskripsi transaksi dimasukkan di medan “Keterangan Produk atau Perkhidmatan”.
“Di sepanjang tempoh peralihan tersebut, HASiL tidak akan mengenakan penalti ke atas sebarang ketidakpatuhan kepada keperluan e-Invois, dengan syarat pembayar cukai mematuhi peraturan yang dinyatakan di atas,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan juga bersetuju untuk membenarkan pembayar cukai dari sektor pemborongan dan peruncitan bahan pembinaan untuk mengeluarkan e-Invois disatukan berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.
Katanya, melalui kebenaran itu, e-Invois hanya perlu dikeluarkan sekiranya melibatkan transaksi melebihi RM10,000 ke atas atau apabila terdapat permohonan daripada pembeli untuk mendapatkan e-Invois.
“Selaras dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan seperti di atas, adalah diharapkan pembayar cukai terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mempunyai tempoh masa persediaan yang secukupnya untuk melaksanakan e-Invois dan pada masa yang sama, peniaga bahan binaan tidak terbeban dengan keperluan untuk mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







