BERITA SEMASA

Dua wanita rugi RM140,000 ditipu penceramah bebas

SHAH ALAM – Dua wanita termasuk seorang pemilik syarikat kerugian RM140,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan seorang penceramah bebas yang mendakwa mengumpul dana untuk pembangunan sebuah sekolah agama.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dimulakan selepas Bahagian Siasatan Jenayah Komersial menerima dua laporan polis daripada mangsa yang masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 40-an, di daerah itu dan Gombak.

Menurut beliau, suspek berusia 30-an itu dipercayai menggunakan nama institusi agama bagi meraih kepercayaan mangsa sejak mereka mengenalinya sebagai penceramah bebas pada tahun 2020.

“Siasatan awal mendapati suspek memperdaya kedua-dua mangsa kononnya bagi tujuan pembangunan sekolah agama di sekitar Selangor.

“Mangsa pertama membuat tiga transaksi berjumlah RM60,000 antara Ogos dan September 2020 manakala mangsa kedua pula menyerahkan wang sebanyak RM80,000 pada tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, kedua-dua mangsa mula menyedari ditipu selepas mendapati tiada perkembangan seperti dijanjikan sebelum membuat laporan polis.

Jelasnya, polis kini membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Difahamkan, penceramah bebas itu turut pernah disiasat sebelum ini berhubung penyebaran video seks membabitkan isteri-isterinya dan beberapa wanita lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button