Dua pelajar perempuan tinggalkan sekolah ditemukan maut di Flat Sungai Pari
IPOH – Dua pelajar perempuan berusia 14 tahun ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas Flat Sungai Pari yang terbiar berhampiran Buntong di sini, petang semalam.
Kedua-dua mangsa, yang merupakan rakan karib dan bersekolah di sekolah yang sama di Ipoh, dipercayai meninggalkan kawasan sekolah secara sukarela sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian kira-kira jam 5 petang.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal setakat ini tidak menemukan sebarang bukti yang menunjukkan pembabitan pihak lain dalam insiden berkenaan.
“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan punca sebenar kematian hanya dapat disahkan selepas pemeriksaan bedah siasat serta analisis forensik selesai,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Mohd Alwi turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa serta menggesa orang ramai menghormati privasi keluarga dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh menjejaskan siasatan polis.
Sementara itu, gambar kedua-dua pelajar terbabit tular di media sosial, dengan mereka dilihat masih memakai pakaian sukan sekolah ketika kejadian.
Flat Sungai Pari, yang pernah dikenali sebagai antara mercu tanda Ipoh dan suatu ketika dahulu merupakan flat kediaman tertinggi di Malaysia setinggi 15 tingkat, telah dikosongkan secara berperingkat sejak 2012 berikutan kebimbangan terhadap integriti struktur bangunan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















