Dua cedera pesawat ringan terhempas di Taiping
TAIPING – Dua lelaki, masing-masing juruterbang dan pelatih, cedera namun dilaporkan stabil selepas pesawat ringan jenis microlight yang dinaiki mereka melakukan pendaratan cemas sebelum terhempas di kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Tekah, di sini.
Video insiden berkenaan turut tular di media sosial apabila orang ramai dilihat bergegas membantu mangsa sejurus kemalangan berlaku.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu kira-kira pukul 10.30 pagi menerusi panggilan kecemasan sistem NG MERSS 999.
Beliau menjelaskan, pemeriksaan awal mendapati pesawat tersebut mengalami kerosakan enjin, menyebabkan juruterbang terpaksa melakukan pendaratan cemas berhampiran lapangan terbang berkenaan.
“Pasukan polis segera digerakkan ke lokasi kejadian untuk melakukan pemantauan dan penilaian awal.
“Kedua-dua mangsa, berusia 46 dan 40 tahun, sudah dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, polis akan terus menjalankan pemantauan rapi dari semasa ke semasa serta menyelaras maklumat bersama agensi berkaitan bagi memastikan kawalan risiko dan keselamatan penduduk sekitar terjamin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







