Dari katil hospital ke puncak dunia: Ee Wei cipta sejarah
KUALA LUMPUR – Daripada seorang pesakit kronik yang pernah terlantar di hospital, kini nama Toh Ee Wei terpahat megah dalam sejarah sukan tanah air apabila bersama gandingannya, Chen Tang Jie, menjulang gelaran juara dunia beregu campuran pertama buat Malaysia.
Perjalanan karier Ee Wei bukanlah mudah. Pada 2019, dia mengejutkan peminat apabila mengumumkan persaraan akibat masalah sinus kronik.
Namun dugaannya bertimpa apabila setahun selepas kembali, dia disahkan menghidap tuberkulosis tulang belakang pada 2021 hingga memerlukan rawatan intensif dan panjang di hospital.

“Saya pernah rasa mahu berputus asa kerana pelbagai masalah kesihatan,” kata Ee Wei dalam nada sebak sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Paris, hari ini.
Namun, berkat sokongan padu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta inisiatif Road to Gold (RTG), semangatnya kembali pulih.
Melalui sesi rehabilitasi berbulan-bulan, keyakinan diri Ee Wei kembali terbina sehingga mampu beraksi semula di gelanggang.
“Saya bermula dari kosong. Ada masa saya hampir hilang semangat, tetapi saya terus berjuang,” ujarnya seperti dipetik Harian Metro.
Hasil ketabahan itu, gandingan Tang Jie-Ee Wei mula mencuri perhatian dengan menjuarai Orleans Masters sebelum mencapai kemuncak gemilang di Paris kelmarin apabila menumbangkan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-15, 21-14.
“Perjalanan saya penuh jatuh bangun. Tetapi saya bersyukur MSN, ISN, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta RTG sentiasa ada di sisi. Tanpa mereka, saya tidak mungkin kembali beraksi,” kata Ee Wei penuh rasa syukur.
Sementara itu, Tang Jie menyifatkan kejayaan mereka lahir daripada keserasian dan semangat sepasukan.
“Setiap kejohanan ada pengalaman tersendiri. Menang atau kalah bukan ukuran yang penting komunikasi dan keserasian setiap hari,” katanya.
Bagi Ee Wei, kejayaan bersejarah itu bukan sekadar kemenangan peribadi, sebaliknya hadiah buat tanah air.
“Kami bermain dengan bendera di dada. Kami bangga menang untuk Malaysia,” katanya penuh makna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















