Dari dewan kuliah ke kelas mengaji, Ustazah Rohamiah terus gigih menabur bakti
TIDAK semua orang mampu menerima hakikat apabila nikmat penglihatan semakin terhad ketika usia masih muda dan kerjaya pula sedang berada di puncak pengalaman.
Namun bagi Ustazah Rohamiah Muda, ujian kesihatan bukan noktah kepada perjuangan hidupnya sebagai pendidik.
Pensyarah Jabatan Pengajian Am di Politeknik Ibrahim Sultan itu memilih untuk bersara awal pada usia 50 tahun selepas penglihatannya semakin merosot akibat kerosakan saraf mata.

Walaupun berat meninggalkan dunia pendidikan yang dicintainya selama 26 tahun, beliau redha dan kini meneruskan bakti melalui kelas mengaji al-Quran dan fardu ain untuk masyarakat.
Anak kelahiran Terengganu dan ibu kepada tujuh cahaya mata itu mengakui, keputusan meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah bukan sesuatu yang mudah.
“Saya sangat sayangkan kerja saya. Banyak air mata yang tumpah sebelum membuat keputusan untuk pencen awal,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Segalanya bermula pada tahun 2023 apabila beliau mula mengalami pandangan kabur ketika memandu.
Pada awalnya, beliau menyangka masalah itu berpunca daripada cermin mata yang perlu ditukar.
Namun pemeriksaan di kedai cermin mata membawa kepada satu kenyataan yang sukar diterima apabila beliau diminta segera mendapatkan pemeriksaan doktor pakar mata.

“Doktor pakar mengesahkan mata saya mengalami kerosakan. Saya kemudian mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Sultanah Aminah dan jawapannya tetap sama,” katanya.
Sejak itu, keadaan penglihatannya semakin merosot sehingga memberi kesan kepada tugasan harian sebagai pensyarah, termasuk mengajar pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pendengaran yang menggunakan bahasa isyarat.
“Saya semakin sukar membaca gerak jari pelajar. Kerja memasukkan markah, menyemak tugasan dan urusan pejabat juga menjadi perlahan,” katanya lagi.
Menurut beliau, sebelum mengambil keputusan besar itu, beliau melakukan solat istikharah hampir setahun selain berbincang dengan suami yang sentiasa menjadi tulang belakang dan penyokong kuatnya.
Pada April 2025, beliau mengemukakan permohonan pencen pilihan sebelum menerima kelulusan rasmi pada September tahun sama.
Pada 4 Mei lalu, beliau menamatkan perkhidmatan secara rasmi sebagai penjawat awam.
“Perasaan pada hari terakhir bekerja bercampur baur. Sedih, sebak tetapi dalam masa sama redha. Tempat kerja itu seperti rumah kedua saya,” katanya.

Namun persaraan tidak menjadikan hidupnya kosong. Setahun sebelum bersara, beliau sudah merancang rutin baharu untuk terus memberi manfaat kepada masyarakat.
Kini hampir setiap pagi, beliau mengendalikan kelas mengaji al-Quran secara dalam talian khusus untuk golongan dewasa yang mahu belajar dari peringkat Iqra’.
Pada waktu petang pula, beliau mengajar jiran-jiran mengaji secara bersemuka, manakala hujung minggu diisi dengan kelas fardu ain dan kelas al-Quran untuk golongan bekerja.
“Ilmu al-Quran dan fardu ain adalah ilmu dunia dan akhirat. Ia sentiasa diperlukan masyarakat,” katanya.
Selain mengajar, beliau juga mengisi masa lapang dengan bercucuk tanam di halaman rumah seperti serai, limau kasturi dan lada kecil.
Walaupun belum menerima pencen sepenuhnya, beliau tetap tenang menjalani kehidupan dan kini turut menjadi dropshipper produk Bonda Nor Sdn Bhd sebagai aktiviti sampingan.

Bagi Ustazah Rohamiah, semangat mengajar tidak pernah padam kerana mendidik sudah sebati dalam jiwanya.
“Ya, semangat mengajar sentiasa ada. Ini juga bakti saya untuk agama,” katanya penuh tenang.
Dalam berkongsi nasihat kepada masyarakat yang diuji dengan kesusahan hidup, beliau menekankan kepentingan sabar, redha dan sentiasa bersangka baik dengan takdir Allah.
“Allah tidak menguji hamba-Nya melebihi kemampuan mereka. Di sebalik setiap musibah, pasti ada hikmah yang sedang Allah aturkan.
“Jangan pernah menyerah. Yakinlah, ada sesuatu yang menantimu selepas hadirnya ujian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








