Dapur Digital rekod jualan lebih RM1 juta tahun pertama, bakal diperluas ke 10 lagi PPR – Dr Zaliha
KUALA LUMPUR – Inisiatif Projek Dapur Digital Wilayah menunjukkan hasil yang memberangsangkan apabila mencatat jualan melebihi RM1 juta dalam tahun pertama pelaksanaannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kejayaan itu mencerminkan wajah sebenar reformasi yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan rakyat melalui Kerangka Ekonomi MADANI.
“Pelaksanaan inisiatif Projek Dapur Digital membuktikan rakyat mampu berjaya apabila diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya.
“Di Wilayah Persekutuan, pendekatan ini dilaksanakan melalui Program Usaha Jaya Insan (PUJI),” katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Dapur Digital 2025 di ibu negara hari ini.
Baca juga : Program CyberSAFE perluas pendidikan keselamatan siber ke sekolah – Dr Zaliha
Tambah beliau, pada tahun lalu, lima buah Dapur Digital telah beroperasi dengan jayanya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.
Berikutan kejayaan tersebut, Zaliha berkata, kerajaan mengumumkan penubuhan 25 lagi Dapur Digital di seluruh negara menerusi Belanjawan 2025, di mana 10 daripadanya akan diwujudkan di Kuala Lumpur.
“Pembangunan sebenar adalah apabila kita membina keupayaan insan agar mereka berpeluang membuat pilihan hidup yang bernilai dan bermaruah,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Zaliha berkata, beliau percaya Wilayah Persekutuan akan terus memimpin pendekatan pembangunan yang lebih adil, inklusif dan menyeluruh.
“Dengan pendekatan ini, ia mampu mengurangkan jurang ketidaksaksamaan dalam kalangan masyarakat menerusi inisiatif Dapur Digital,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








