BERITA SEMASA

Cubaan seleweng diesel RM20,716 dipatahkan

PASIR GUDANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor berjaya mematahkan cubaan penyelewengan diesel bernilai RM20,716 dalam satu serbuan di stesen minyak di Lebuhraya Pasir Gudang, di sini, semalam.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, operasi berkenaan dilaksanakan Unit Ronda Penguat Kuasa (URP) ketika rondaan kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, pasukan URP mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahan dan menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan telah diubah suai dengan pemasangan dua unit pam yang disambungkan terus daripada tangki asal ke tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) di ruang simpanan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tangki tersebut dipercayai mengandungi kira-kira 800 liter minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan, lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an gagal mengemukakan sebarang dokumen sah termasuk permit khas berkaitan penyimpanan atau tujuan pembelian diesel tersebut.

Katanya, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Menurut beliau, modus operandi tersebut dipercayai digunakan untuk tujuan pemindahan dan penyimpanan diesel secara tidak sah.

“Susulan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM20,716,” katanya lagi.

Beliau berkata, sebarang cubaan menyeleweng barang kawalan termasuk melalui pengubahsuaian kenderaan adalah kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras ketirisan subsidi yang menjejaskan kepentingan rakyat.

“KPDN Johor turut mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan melalui saluran rasmi yang disediakan bagi membantu usaha membanteras aktiviti penyelewengan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button