Cubaan lapan PATI ke Kuala Lumpur digagalkan PGA
KOTA BHARU – Cubaan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Nepal untuk memasuki ibu negara bagi bekerja sebagai buruh gagal apabila mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Terminal Bas Lembah Sireh di sini semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 7 pagi melibatkan empat lelaki warga asing berusia antara 19 hingga 28 tahun yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kesemua mereka memasuki negara ini melalui pangkalan haram selepas menaiki perahu dari Thailand.
“Mereka memaklumkan telah membayar sebanyak RM11,000 bagi keseluruhan perjalanan dari negara asal sebelum dibawa menaiki kereta dan diturunkan di Terminal Bas Kota Bharu.
“Kesemua mereka dipercayai sedang menunggu bas untuk ke Kuala Lumpur selepas dijanjikan pekerjaan sebagai buruh,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, tangkapan kedua turut dilakukan di lokasi sama apabila anggota PGA mengesan sebuah kereta jenis Honda Accord menurunkan empat lagi warga asing.
Menurutnya, pemandu kenderaan itu bagaimanapun bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Pemeriksaan mendapati empat warga Nepal berusia antara 18 hingga 27 tahun termasuk seorang wanita gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Mereka mengaku dibawa masuk ke negara ini menggunakan perahu oleh seorang lelaki dan dikenakan bayaran RM7,000 seorang bagi perjalanan dari negara asal,” katanya lagi.
Ahmad Radzi berkata, kumpulan itu dipercayai memasuki negara ini melalui pesisir pantai di Kampung Baru Nelayan, Tumpat sebelum dibawa ke Terminal Bas Kota Bharu untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
“Semua PATI yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








