BERITA SEMASA

Cadangan hadkan tempoh jawatan PM tidak ubah asas demokrasi, jejas kuasa YDPA

KUALA LUMPUR – Cadangan pindaan kepada Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak mengubah asas demokrasi berparlimen dan tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan pindaan yang dirangka selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sebaliknya memperkukuh struktur perlembagaan melalui satu peruntukan yang jelas bagi mengukuhkan sistem semak dan imbang negara.

“Dalam salah silah demokrasi, kematangan sebuah negara tidak pernah diukur kepada lamanya seseorang memegang tampuk kuasa. Ia diukur pada kekuatan institusi yang menjamin kesinambungan dasar dan pentadbiran negara melangkaui individu.

“Jadi, pengehadan tempoh jawatan bukan penafian terhadap peluang kepemimpinan, sebaliknya satu ikhtiar untuk memastikan negara ini terus dipandu oleh institusi yang kukuh, berfungsi dan tidak terikat pada mana-ma insan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri menambah, pembentangan rang undang-undang itu juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh institusi dan memartabatkan tatakelola negara.

Jelas beliau, ia merupakan manifestasi komitmen yang telah dijanjikan kepada rakyat dan dilaksanakan melalui proses Perlembagaan serta Parlimen.

Perdana Menteri berkata cadangan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri bukan perkara baharu dan telah lama menjadi sebahagian daripada wacana reformasi institusi negara, sekali gus mencerminkan kesedaran bahawa demokrasi yang matang memerlukan pembaharuan berprinsip.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button