AUTOMOTIF & TEKNOLOGIRENCANA

Cabaran mengimbangi kemajuan teknologi dengan adab pengguna

TEKNOLOGI berkembang dengan begitu pesat, namun manusia sering ketinggalan dalam membentuk sikap dan adab ketika menggunakannya.

Inilah yang ditekankan oleh Pensyarah Jabatan Elektronik Teknologi, Universiti Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mohd Azraei Mohd Azmi pada Simposium Pendidikan Suruhanjaya Komunikasi Media (MCMC) 2025 di Sepang, pagi tadi.

Dr Mohd Azraei berharap pembangunan sikap dan adab manusia dalam menggunakan teknologi akan dapat diseimbangkan.

Menurut beliau yang menyampaikan syarahan bertajuk Cabaran Penerimaan 5G dan AI dalam Ekonomi Sedang Pesat Membangun: Ke Arah Pemerkasaan Digital, apa yang lebih penting daripada kehebatan teknologi itu sendiri ialah bagaimana ia dihubungkan dengan manusia dalam cara yang betul.

“Kita ada pembangunan teknologi yang pesat, tetapi pembangunan sikap dan adab manusia dalam menggunakan teknologi masih kurang,” jelasnya kepada Malaysia Tribune.

Dr Mohd Azraei turut menyentuh cabaran besar yang dihadapi dalam penggabungan teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI).

Walaupun liputan 5G di Malaysia kini telah mencapai sehingga 80 peratus, kadar penggunaannya masih rendah.

Hal ini banyak dipengaruhi oleh persepsi masyarakat yang bimbang dengan isu privasi dan keselamatan.

“5G membolehkan kelajuan data tinggi dengan kadar lengah rendah. Tetapi apabila digabungkan dengan AI yang mampu membuat keputusan secara masa nyata, ia menimbulkan kebimbangan tentang kecurian identiti, pencerobohan keselamatan dan penipuan data,” katanya.

Walaupun liputan 5G di Malaysia kini telah mencapai sehingga 80 peratus, kadar penggunaan masih rendah.

Beliau turut berkongsi dapatan kajian berbentuk temu bual bersama pelajar dan orang awam mengenai persepsi mereka terhadap 5G dan AI.

Hasilnya menunjukkan pandangan yang berbeza iaitu ada yang melihat potensi besar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), manakala sebahagian lain menzahirkan kebimbangan tentang kesedaran serta risiko teknologi ini.

Dalam konteks media sosial pula, Dr Mohd Azraei menegaskan bahawa AI sememangnya memberikan banyak manfaat, terutamanya dalam membantu kerja-kerja berulang yang sebelum ini memakan masa panjang.

Seiring peningkatan teknologi, ia juga boleh disalahgunakan oleh penjenayah siber untuk mencipta identiti palsu dan membuat penipuan dalam sekelip mata. – Foto hiasan

Namun, kelemahan besar ialah bagaimana teknologi sama boleh disalahgunakan untuk mencipta identiti palsu dalam sekelip mata.

“Itulah yang dipanggil kecurian identiti (identity theft). Seseorang boleh dicipta tanpa kita sedari dan digunakan untuk pelbagai bentuk tuntutan atau penipuan.

“Isu keselamatan dan privasi sebegini perlu diberi perhatian serius,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat perlu dididik untuk menggunakan teknologi dengan lebih beretika dan bermanfaat.

“Teknologi itu memang ada. Cuma ia mesti digunakan dengan cara yang baik,” katanya lagi.

Sebahagian peserta tekun mendengar pembentangan yang disampaikan ahli panel pada simposium tersebut.

Menyentuh peranan MCMC dalam dunia digital tanah air, Dr Mohd Azraei berkata, ia perlu lebih menumpukan kepada dua aspek utama iaitu membentuk masyarakat melalui pendidikan teknologi yang selamat serta memperkukuh dasar dan undang-undang.

“Undang-undang sedia ada perlu dikaji semula dan jika perlu, undang-undang baharu diperkenalkan.

“Teknologi berkembang pantas, maka undang-undang juga mesti bergerak seiring bagi mengekang isu seperti serangan siber, buli siber, penipuan dalam talian dan skim penipuan (scammers),” ujarnya.

Dengan itu, rumus beliau, teknologi hanya akan benar-benar bermanfaat apabila manusia menguasainya dengan ilmu, adab dan etika yang betul, bukan sekadar mengejar kepantasan pembangunan semata-mata.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button